Al-kisah di sebuah negeri.

>> Sunday, September 28, 2008

"Sebelum kisah bermula, oleh sebab negeri ini sudah ratusan tahun lamanya dijajah dan walaupun kini ia telah merdeka, namun para pemimpinnya masih tetap lagi pengekor dan sekepala dengan penjajah, maka ada baiknya kita mendengar satu pepatah penjajah yang masih diamalkan di negeri ini. Pepatah itu berbunyi,

“The only time politicians tell the truth is when they call each other liars”
(satu-satunya masa di mana politikus bercakap benar adalah, apabila mereka memanggil sesama mereka pembohong)

Inilah gambaran politik yang ada di negeri yang akan dikisahkan ini, kerana pemimpinnya memang hebat sehebat penjajah juga dari segi putar belitnya. Oleh sebab kisahnya agak panjang, maka diringkaskanlah cerita ini hanya kepada perkembangan mutakhir sahaja, agar tidak mem‘boring’kan pembaca yang tidak setia.

Negeri ini diperintah oleh seorang Raja dan seorang Bendahara yang katanya tidak gila kuasa, cuma dengar cakap menantu sahaja. Menteri-menterinya pula adalah terdiri dari katak-katak yang suka melompat. Terdapat seorang hero di negeri tersebut yang ingin memberontak terhadap Bendahara yang dikatakan lembik lagi korup. Hero ini ternyata hebat kerana mempunyai satu kumpulan yang kuat dan penyokong-penyokong yang ramai. Hero ini juga turut di sokong oleh kumpulan-kumpulan lain yang bergelar “Yu” dan “Na” yang agak kuat juga. Dalam proses demokrasi yang diajar oleh penjajah di negeri tersebut, kumpulan mana yang mempunyai bilangan yang ramai di Dewan Persidangan, maka dialah yang memerintah.

Al-kisah, kumpulan yang memerintah negeri tersebut bergelar “Be End”. Dek kerana kumpulan hero yang kuat ini telah bergabung dengan kumpulan Yu dan Na, maka bertambah kuatlah pasukannya di dewan Persidangan, cuma kekurangan 30 kerusi sahaja untuk hero menjadi Bendahara, menggantikan Bendahara yang lembik dan korup dan dengar cakap menantu tadi. Selain penyokong yang ramai, si hero memang pandai bermain kata-kata dan inilah yang paling ditakuti oleh Bendahara. Suatu hari, si hero mengisytiharkan bahawa sebilangan menteri-menteri katak lompat telah bersetuju untuk melompat ke kumpulan hero. Kisah lompat melompat ini diulangnya setiap hari, setiap pekan dan setiap purnama. Dan hero dengan beraninya menyatakan tarikh keramat si katak akan melompat beramai-ramai ialah pada 16 September. ‘Dateline’ 16 September diletakkan oleh hero demi mencapai impiannya untuk mengambil alih singgahsana sang Bendahara. Kumpulan Yu dan Na pun tidak putus-putus memuji-memuji dan menaruh harapan kerana jika hero berjaya ke puncak singgahsana, mereka pun tentunya dapat menumpang sekaki dua.

Tarikh 16 September betul-betul telah menggamatkan suasana dan menimbulkan kekecohan di dalam negara. Para penyokong hero terus menanti dan berharap manakala kepada Bendahara, tarikh tersebut menjadi igauan ngeri sehinggakan terpaksa menghantar lebih kurang 50 orang menteri katak lompat ke Taiwan untuk mempelajari teknik-teknik menanam sayur yang terkini, bagi mengelak mereka melompat ke kumpulan hero.

Sekonyong-konyong, 16 September pun berlalulah sudah, namun tidak ada apa-apa yang berlaku. Para penyokong hero melopong dan pihak musuh keriangan. Tak apa, si hero masih tenang dan tahu apa nak buat. Si hero lalu menabur harapan lagi. Katanya, tepat jam 2 petang 16 September akan adakan satu sidang akhbar kerana ada ‘berita gempar’ akan diumumkan. Maka bertempiaranlah para pemberita sana dan sini yang tak sabar ingin tahu apakah ribut atau taufan yang bakal melanda. Rupanya, cerita basi juga yang keluar bahawa si hero telah mempunyai nama nama-nama si katak lompat yang terpaksa dirahsiakan atas alasan keselamatan.

Untuk me‘maintain’kan semangat penyokong yang semakin merudum, si hero pun terpaksa menimbulkan gimik baru pula, kali ini beliau mengajak sang Bendahara yang dahulunya ketakutan berjumpa untuk membincangkan tentang isu peralihan kuasa. ‘Perbincangan’ ini penting katanya, kerana tidak mahu mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat jelata. Si Bendahara pun sudah pandai kali ini, tipu helah si hero sudah dibaca...wakenabeb! takkanlah nak biarkan si penyamun berbincang pelan menyamun dengan tuan rumah, hang ingat aku ni bodoh sangat ke?

Kepada semua penyokong yang masih terkebil-kebil, si hero berkata,

“Saya merayu kepada semua rakyat jelata, khasnya yang mahukan perubahan, agar memahami keadaan dan bersabar sedikit lagi kerana kita tidak mahu melanggar Perlembagaan, peraturan dan qanun negara”

Sang penjajah yang selama ini berminat dengan hero dan senantiasa memerhati dari jauh, terus melaporkan bahawa telah ada perbincangan antara wakil hero dan pihak Bendahara tentang peralihan kuasa. Gila sungguh!!! Marah sang Bendahara, mana ada? Ini perkara paling gila yang pernah saya dengar, ujar Bendahara dengan marahnya, apabila membaca berita tersebut. Takut dicop penipu, si hero lalu buatlah statement menjelaskan yang tak ada apa-apa perbincangan yang berlaku.

Alamak! Apa sudah jadi? Skrip sudah lari, rupanya seorang apek yang bersemangat selaku jurupenerang kepada hero kata, sudah wujud perbincangan antara kumpulan hero dengan orang tengah Bendahara mengenai peralihan kuasa. Tiba-tiba hero menafikan pulak wujudnya perbincangan...aiseyman! suey betulll!

Rupa-rupanya, bukan si apek jurupenerang sahaja yang bikin rosak itu skrip, salah seorang ahli kumpulan Yu juga sudah lari dari skrip dengan menabur berita surat sudah dihantar kepada Raja memerintah untuk mengadap dan membuktikan sikatak lompat sudah ada dalam tangan. Kumpulan hero sekali lagi menafikan telah berbuat demikian. Alamak! Sekali lagi kantoi...

Oleh sebab terdapat unsur-unsur penipuan di sini, justeru, satu mesyuarat tergempar telah diadakan yang memutuskan bahawa sesiapapun kini tidak boleh berkata-kata tentang isu katak lompat selain hero seorang sahaja. Yang belum pandai menipu, kena belajar dulu dari hero bagaimana cara nak menipu, jangan lawan tokey.

0 comments:

Media 1

Media 2

Media 3

  © Terima Kasih Di Atas Kunjungan Anda Salam Aidil Fitri Daripada Kami Group Alusy 2008

Kembali Ke ATAS