Pakatan Rakyat masih berpendirian Nizar Menteri Besar yang sah

>> Friday, February 6, 2009



Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa kesal terhadap tindakan biadap rampasan kuasa di Perak termasuk layanan terhadap YAB Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak di mana semua barangan telah dirampas dari pejabat beliau. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

Kami akan memfailkan satu saman bagi mencabar keabsahan perlantikan Menteri Besar yang baru dari Barisan Nasional. Panel peguam sedang mengkaji tindakan ini. Kami masih berpendirian bahawa YAB Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Pada ketika ini pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional.

Kami menggesa kepada semua agar bertindak secara aman dan tertib. Kami merayu agar pihak polis bertugas secara profesional dan tidak menimbulkan Imagesebarang provokasi atau huru hara.

* Kenyataan dikeluarkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KeADILan yang juga Ketua Pembangkang; Lim Kit Siang, Ketua Ahli Parlimen DAP; dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. _

Read more...

Tiga kesilapan pilih Wan Farid

>> Monday, January 26, 2009


KESILAPAN besar Umno ialah dengan meletakkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi calon Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi Allahyarham Razali Ismail.Silap bukan kerana Wan Farid calon pilihan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang tidak diterima kumpulan TPM, Mohd Najib Abdul Razak.

Walaupun ada cerita-cerita orang Umno, Najib lebih suka jika Roslan Awang Chik, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia menjadi calon.

Wan Farid dan Roslan berseteru. Roslan yang dikenali lebih rapat dengan TPM sebelum ini adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang ditewaskan oleh Wan Farid ketika menjadi Setiausaha Politik Abdullah beberapa tahun lepas.

Perseteruan ini bukannya persepsi. Perseteruan ini adalah realiti yang tidak dapat ditolak Umno, akibat perpecahan dalaman yang serius. Perseteruan yang berpanjangan ini merupakan kesilapan pertama Umno.

Sehingga ada orang-orang Umno tertentu, sudah menyatakan sokongan dan kesediaan untuk mengundi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut secara diam-diam.

Hari ini Umno-BN yang meletakkan Wan Farid sebagai pengganti Razali, berkempen dengan memuji kehebatan serta jasa-jasa bekas Ahli Parlimen itu.

Rakyat di luar Terengganu boleh dibohongi. Tetapi orang-orang Umno dan rakyat Terengganu sendiri menyaksikan bagaimana ketika hayat Razali, beliau diketepikan dan dikalahkan oleh orang-orang Wan Farid dalam pemilihan bahagian.

Bagaimana mungkin Wan Farid atau Umno KT, boleh menjaja beliau sebagai kesinambungan legasi Razali, jika allahyarham bekas timbalan menteri itu langsung tidak dipedulikan ketika hayatnya?

Kesilapan kedua ialah soal personaliti Wan Farid. Bukan soal hendak dibahaskan dia orang baik atau jahat. Bukan juga nak dibangkitkan kegemarannya berkaraoke.

Masalahnya ialah beliau tidak dilihat mewakili golongan marhain dan golongan miskin bagi negeri Terengganu, yang sentiasa terletak dalam kelompok negeri-negeri termiskin di Malaysia.

Masalahnya bukan pada rakyat sahaja. Ada kalangan orang-orang Umno sendiri yang mendakwa Wan Farid jenis 'hidung tinggi'. Barangkali beliau tidak begitu, mungkin pada raut wajahnya kelihatan begitu tetapi hatinya tidak.

Soalnya perkara ini bukan persepsi atau ia menjadi bahan serangan kempen PAS untuk memburuk-burukkan personaliti lawan.

Ianya adalah hakikat yang berlaku, wujud dalam Umno sendiri. Sehingga ada kalangan Umno yang mendakwa, jika pun keluarga Wan Farid membuat kenduri, beliau lebih mengutamakan kawan-kawan di KL daripada orang Terengganu sendiri. Itu cerita orang Umno, entah betul entah tidak.

Tetapi, jika TPM sendiri yang risau dengan personaliti calon BN ini, dan meminta beliau lebih tersenyum kerana raut wajahnya yang serius berbanding Abdul Wahid, maka ada banyak perkara yang 'tidak kena' kepada calon BN itu.

Kesilapan ketiga ialah isu penguasaan kekayaan negara, sama ada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan penggunaan wang royalti yang dikaitkan dengan Wan Farid serta Idris Jusoh dan anggota keluarga mereka.

Orang-orang Umno ramai yang tidak berpuashati dengan penguasaan kedua-dua mereka kepada hasil kekayaan negeri. Penglibatan abang calon BN iaitu bekas Adun Ladang, Wan Hisham Wan Salleh dalam projek besar Monsoon Cup diratib dibibir orang Umno.

Kedua-duanya Wan Farid dan Idris dikatakan tidak disenangi kumpulan Menteri Besar, Ahmad Said.

Kedua-dua mereka adalah kroni rapat menantu PM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Patrick Lim yang dikenali sebagai Patrick Badawi.

Ketiga-tiga isu ini adalah isu besar kepada Umno. Ianya bukan rahsia dan amat diketahui oleh rakyat, khususnya pengundi-pengundi di KT.

Hakikat daripada ini menyebabkan, BN menjadi terlalu defensif. BN tidak mampu lagi menjual idea pembangunan.

Mereka terpaksa menjawab isu-isu ini sebelum rakyat menjatuhkan hukuman terhadap BN.

Bagaimanapun di kalangan BN juga sedar bahawa tidak mungkin dalam tempoh seminggu dua ini semuanya dapat di atasi.

Bagaimana mungkin calon BN yang sudah lama dikenali termasuk dalam golongan elitis yang tidak mesra rakyat, boleh mengubah sikapnya dalam tempoh dua minggu.

Bagaimana mungkin seseorang yang sifatnya susah untuk 'manis muka' boleh diterima rakyat hanya selepas menjadi seperti 'badut sarkas' dalam tempoh dua minggu sahaja?

Hakikatnya, angin perubahan rakyat selepas PRU Mac 2008 sudah tidak dapat lagi dibendung. Umno sudah semakin tidak relevan dan BN semakin tidak diterima rakyat.

Implikasi kekalahan Wan Farid bukan setakat beliau hilang jawatan timbalan menteri, senator atau setiausaha politik, ia adalah signal bahawa rakyat terus menolak legasi Abdullah dan tidak menerima kepimpinan yang bakal diwarisi Najib. - mks. _

Read more...

Media 1

Media 2

Media 3

  © Terima Kasih Di Atas Kunjungan Anda Salam Aidil Fitri Daripada Kami Group Alusy 2008

Kembali Ke ATAS