SIAPA "ABU BASIR" DALAM PAKATAN RAKYAT????

>> Wednesday, October 1, 2008

Dalam sirah, tercatit kisah berkenaan perjanjian hudaibiyyah yang telah dimetrai sendiri oleh Rasulullah SAW dengan seorang tokoh kuffar yang bernama suhail bin Amr.

Dalam perjanjian itu, ramai dari kalangan sahabat mendakwa bahawa ianya adalah berat sebelah. Dakwaan itu bermula apabila salah satu perjanjian itu menyatakan bahawa, mana-mana orang Makkah yang masuk islam, lalu lari ke madinah, maka wajib dari kerajaan islam madinah menghantar orang tersebut ke makkah.

Perjanjian itu diterima oleh Rasulullah SAW dengan hati terbuka, tetapi agak tidak berpuas hati oleh sebilangan besar para sahabat rasulullah.

Gambaran tidak puas hati itu lebih terserlah apabila salah seorang sahabat nabi SAW yang berasal dari makkah, lalu masuk islam di makkah dan lari ke Madinah, iaitu Abu basir.

Apabila perjanjian itu telah dimetrai oleh nabi SAW, menyebabkan dua tokoh kuffar yang bernama Al-Azhar dan Al-Akhnas bin As-Syariq As-saqafi telah datang berjumpa dengan nabi SAW untuk meminta agar diserahkan Abu basir kepada mereka.

Nabi SAW dengan hati terbuka telah memanggil Abu Basir, meminta agar beliau mengiktu sahaja dua kafir itu untuk kembali ke Makkah.

Tindakan Nabi SAW itu mendapat tentangan hebat dari para sahabat, tetapi tidak diendahkan oleh Nabi SAW disebabkan perjanjian yang telah dimetrai, islam mewajibkan ditunaikan.

Sabda nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
"Orang islam itu disisi syarat mereka[1]"

Abu Basir pun pada asalnya tidak mahu mengikut dua orang kafir itu, tetapi disebabkan Nabi SAW tidak redha Abu Basir berada di madinah, menyebabkan beliau terpaksa akur.

Dalam perjalanan ke Makkah, sebilangan orang-orang Badwi telah datang berbual-bual dengan Abu Basir, menyebabkan Abu Basir meminjam senjata kepunyaan si badwi. Apabila memegang senjata itu, menyebabkan Abu Basir menggunakan kesempatan itu menikam Al-Azhar, iaitu salah seorang dari kafir yang datang mengambilnya. Apabila mati Al-Azhar menyebabkan Al-Akhnas takut dan lari ke Madinah berjumpa dengan Nabi SAW dan melaporkan berita tersebut kepada Baginda SAW.

Mendengar laporan itu, baginda SAW menyatakan tidak akan bertanggungjawab terhadap perbuatan Abu basir, kerana ia berada diluar kawalan Baginda. Jawapan nabi itu menyebabkan Al-Akhnas hampa dan terus pulang ke Makkah dalam ketakutan.

Selepas Al-Akhnas berlalu pergi, maka datang Abu Basir kepada Rasulullah SAW dan melaporkan tindakannya yang telah membunuh Al-Azhar. Baginda SAW juga menyatakan bahawa Baginda tidak bertanggungjawab terhadap perbuatannya, disamping tidak ridha Abu Basir berada di Madinah.

Keadaan itu menyebabkan Abu Basir telah melakukan satu gerakan di persisiran pantai untuk menghalang para arab Quraish makkah untuk berniaga. Tindakan Abu basir dan pengikutnya menyebabkan ekonomi makkah lumpuh, sehingga para kafir ketika itu telah berjumpa dengna Baginda SAW untuk membatalkan salah satu kandungan perjanjian Al-Hudaibiyyah yang tidak membenarkan orang islam Makkah berada di Madinah.

Sejak dari itu, orang Islam di makkah sudah mudah berada di Madinah, menyebabkan antara orang Makkah dan Madinah sering berurusan sehingga mereka berjaya melakukan usaha dakwah yang kuat, menyebabkan sepuluh tahun selepas dari perjanjian tersebut, islam buka sekadar memerintah di madinah, tetapi Makkah juga telah menjadi kepunyaan islam.

PENGAJARAN

Dari kisah ini, kita dapat melihat inilah kebijaksanaan politik nabi SAW dalam berusaha hendak menguasai makkah dengan pelbagai toleransi yang telah dilakukan oleh Nabi SAW. Keadaan ini amat sama berlaku dalam pakatan rakyat yang baru ditubuhkan selepas dari Pilihanraya ke 12.

Memang tidak dinafikan, dalam pakatan rakyat, banyak perkara islam agak kurang berjaya dilaksanakan. Tetapi, sebenarnya, kita perlu kuatkan usaha kita dalam memahamkan rakyat dengan islam, agar Islam dapat memerintah di Malaysia, seperti islam memerintah makkah selepas dari kejadian Perjanjian Al-Hudaibiyyah.

Dalam kisah perjanjian Al-hudaibiyyah, kita dapat melihat Abu Basir menjadi penyebab keadaan ekonomi dan situasi politik orang di Makkah tergugat, maka keadaan di Malaysia agak sama berlaku, apabila kehadiran Anwar Ibrahim penyebab pihak BN tergugat.

Dalam kes perjanjian Al-hudaibiyyah, nabi bijak dalam berinteraksi dengan tidak mudah melatah, tetapi megambil sikap agar menyelamatkan Madinah dengan tidak menjemput Abu Basir duduk di Madinah selepas dari membunuh salah seorang kafir dalam perjalanan, tetapi menyerahkan bulat-bulat kepada Abu basir untuk bertindak terhadap orang-orang kafir ketika itu.

Keadaan ini agak sama dengan sikap Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang tidak mencadangkan kepada Anwar masuk PAS, tetapi membiarkan Anwar bertindak dengan segala propaganda yang dilakukan bagi menggugat BN/UMNO.

PENUTUP

Padaku, kehadiran Anwar ibrahim dalam politik Malaysia untuk mengugat BN/UMNO tidak boleh dinafikan. Tetapi, yang paling penting bagi kita adalah, bagaimana kita mahu mengambil kesempatan yang ada dalam memahamkan rakyat dengan islam, justeru itu memerintah islam dengan baik.

Oleh itu, perkuatkan saf-saf perjuangan. Hindarkan kekerasan perjuangan, tetapi dampingi rakyat dengan segala kebijaksanaan untuk menyampaikan Islam kepada mereka.

Jika ini dilakukan, tidak mustahil, 2 penggal pilihanraya akan datang, islam bukan sekadar memerintah Kelantan dan kedah, tetapi kerajaan pusat akan dikuasai oleh islam, dan ternyata Islam berjaya dilaksanakan dengan baik, tanpa melahirkan sebarang kekacauan dalam perlaksanaan.

Sekian

0 comments:

Media 1

Media 2

Media 3

  © Terima Kasih Di Atas Kunjungan Anda Salam Aidil Fitri Daripada Kami Group Alusy 2008

Kembali Ke ATAS